Wednesday, July 26, 2006
Kehidupan Yang Kulalui

 

Mampukah saya mencapai cita-cita yang saya hajatkan selama ini?
Sekarang saya berada di 'track' yang kedua.
Alhamdullilah..'track' yang pertama telah saya lalui.
Syukur pada ALLAH kerana memberi saya ruang untuk mencipta kejayaan.
Dan untuk 'track' yang kedua ini saya mengharapkan agar diri ini mampu
buat yang terbaik.Lebih baik dari track yang pertama.
Demi cita-cita yang telah saya semat di sanubari selami ini.
KIni juga saya sedari, semakin waktu berlari, semakin usia bertambah, semakin hebat dugaan yang ditempuhi.
Sekarang tidak sama seperti dulu.
Yang pasti cabaran ini perlu disahut walaupun kesukarannya kadang kala
menggugah diri ini.
Kerana untuk berjaya tiada jalan yang mudah.
Itu yang saya sematkan.

Buat blogger: Andai ada kata-kata semangat, titipkan untuk saya agar saya tidak rebah dalam menghadapi ranjau kehidupan ini.

 


Posted at 08:41 am by adra
Comments (2)  

Sunday, June 18, 2006
Kisah Yang Panjang

 

Sesudah bersarapan di rumah Adriana, aku terus menuju ke fakulti. Sudah berjanji dengan rakan-rakan untuk berada di makmal hari ini. Kalau ramai-ramai ada barulah seronok menyiapkan kerja. Sekurang-kurangnya jika kebosanan adalah penghibur. Hendak ke kafetaria pun tidak keseorangan. Itulah fungsi sebagai teman. Sentiasa berada apabila diperlukan walau susah atau senang.

 

Aku melalui perpustakaan terlebih dahulu sebelum tiba di fakulti. Suasana lengang kerana sekarang waktu cuti pertengahan semester. Ramai pelajar pulang bercuti.  Cuma mereka yang masih terikat dengan aktiviti  masih ada di sini. Jika tidak ada saja para pelajar keluar dan masuk di perpustakaan ini.

 

Sampai di fakulti, aku mencari tempat kosong yang dikhaskan  untuk pelajar meletakkan kereta. Silap ‘parking’ melayanglah RM 10 kepunyaanku. Sejak akhir-akhir ini pekerja-pekerja keselamatan universiti selalu menjalankan tugas mereka memeriksa kenderaan di sekitar universiti. Bagi mereka yang  ingkar dengan arahan, bersiap sedialah kereta mereka ‘digari’.

 

Beberapa buah kereta tersusun di kawasannya. Aku melangkah menuju ke makmal. Untuk masuk ke dalam makmal ini memerlukan kata kunci sebagai langkah keselamatan. Setelah kata kunci berjaya ditembusi, aku perlu menulis kedatangan di dalam buku yang disediakan. Kelihatan beberapa orang rakan sekursusku sudah ada di tempat masing-masing. Suasana masih lagi tenang. Jika makmal ini dipenuhi pelajar, tak ubah seperti pasar.  Bercakap seperti temannya berada jauh sebatu.

 

Komputer dihidupkan. Seperti biasa aku akan memeriksa peti mel elektronik terlebih dahulu. Kemudian barulah memulakan kerja lain.

“Baru sampai?” Tegur Dania yang baru sampai.

“Baru je.”

“Jaja mana?”

“Mungkin di lab atas. Begnya ada. Macam dah lama sampai.” Aku membuat telahan.

Jaja terpaksa menggunakan makmal komputer utama yang menempatkan komputer high perfomance. Projeknya memerlukan dia menggunakan UNIX sebagai OS.

“Hai, Muni.” Tegur Tasneem yang baru tiba. Wajahnya girang. Pasti ada sesuatu yang mengembirakannya.

“Dah sarapan?” Tanyaku.

“Dah. Di rumah tadi.” Balasnya. Tasneem, gadis Sabah tinggal bersama ibu saudaranya. Setiap hari dia berulang alik dari rumah ke kuliah. Begitu juga dengan Dania yang tinggal bersama keluarga. Tidak seperti aku dan Jaja yang tinggal di kolej.

Masing-masing sibuk menyelesaikan kerja yang perlu disiapkan. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Namun, makmal ini masih lagi tidak dipenuhi pelajar. Barangkali ramai yang lebih suka menghabiskan kerja di rumah. Bagus juga suasana begini. Tenang-tenang saja. Kalau tidak pening kepala menghadapi kebisingan dari mereka yang tidak menghormati teman-teman sekeliling.

“Muni, kau dah hantar draf tesis pada Dr Rais?” Tanya Tasneem kepadaku.

“Dah. Jumaat lepas. Dah lama dia minta kan?”

“Memanglah. Tapi aku tak hantar lagi. Aku minta tempoh dengan dia. Mungkin esok baru hantar. Segalanya dalam proses.”

“Jangan risau, Neem. Kita sekapal. Aku pun tak hantar lagi. “ Sampuk Dania.

“Tak sempatlah nak buat.” Kata Dania lagi.

“Kau buat macam mana? Dr ada cakap apa-apa tak masa kau hantar?”

“Aku buat macam biasalah. Ikut format dan isi yang dia nak. Tengoklah.”

Aku mengeluarkan salinan draf tesis dari dalam beg dan menghulurkannya pada Tasneem.

“Hmm…Dr Rais puas hati tak?”

“Dia ada semak depan aku. Tapi tak habis. Adalah komen sikit-sikit. Selebihnya dia banyak bercerita tentang hal lain.”

“Biasalah kalau jumpa Dr Rais. Topik yang utamanya sekejap aja. Lepas tu melarat-larat ke topik yang lain.” 

“Tapi seronok juga berbual-bual dengan dia. Kita dapat belajar perkara baru. Dengar pengalaman dari yang lebih tua. Bukannya kita berbual perkara. yang tak berguna.” Kata Dania lagi.

“Dia ada juga pesan pada aku, sebelum buat apa-apa perubahan pada tesis, tunjuk dulu pada dia.”

“Warghh…Laparnya.” Tiba-tiba saja Jaja menjerit ke arah kami. Semua orang memandang ke arah kami berempat. Jaja buat muka bersahaja.

“Lapar ni. Jom pergi kafe. “ Jaja mengajak sambil memegang perut sebagai tanda kelaparan.

“ 5 minit boleh? Aku nak siapkan sikit saja lagi kerja aku. Lepas makan aku terus balik. Petang ni ada kelas memandu.” Kata Tasneem.

“Ok. 5 minit saja tau. Aku lapar sungguh ni.”

“Muni, aku tahu kau dah hantar draf tesis. Macam mana kau buat? Aku tak buat lagi. Dr Rais  dah minta lama. “ Jaja merengek denganku. Dia memang manja sedikit. Kadang-kadang mengada-ngada pun ada.

“La, kau pun tak hantar lagi?”

“Biasalah, aku ni. Lembap. “

“Buat ajalah seperti yang dia minta. Buat betul-betul tau. Kita ada sebulan saja lagi untuk siapkan tesis . Lepas tu dah kena hantar.”

“Itulah. Aku dah bingung ni. Molekul aku buat hal pula.”

Aku sedikit lucu dengan perkataan ‘molekul buat hal’. Namun aku faham kesulitan Jaja dalam menyiapkan tesisnya. Bukan mudah membuat permodelan molekul. Ia memerlukan ketekunan dan kesabaran. Kita perlu bijak bermain dengan molekul.

“Bincanglah dengan Tasneem. Tajuk kau berdua hampir sama. Cuma penggunaan ‘software’ saja yang berbeza. Aku boleh juga bagi pendapat. ”

Projek di bawah selian Dr Rais diberi secara berpasangan. Sepasang pelajar diberi konsep yang sama tetapi tajuk yang berbeza. Aku berpasangan dengan Dania. Bezanya, Dania membina pangkalan data tentang penyakit manakala aku berkisar tentang neuron.

“Nantilah bincang dengan Tasneem. Dia pun tengah sibuk. Tak kuasa pula aku nak ganggu dia. Lepas makan kau boleh tolong aku? Aku nak kau bagi idea tentang projek ni. ”

“Tak jadi masalah. Kita kan kawan.” Balasku pada Jaja. Dia nampak cemas saja.

“Okay. Dah siap. Jom kita pergi makan.” Tasneem bersuara seperti yang dijanjikan.

Kami berempat menuju ke kafetaria. Sampai di kafe , masing-masing memilih hidangan tengah hari. Selesai membayar, memilih tempat yang dirasakan sesuai. Pelanggan tidak terlalu ramai berbanding hari biasa. Cuti katakan. Lagipun sekarang bukan ‘lunch hour’ bagi pekerja.

“Besok kita keluar, nak? Temankan aku pergi Low Yat.”  Ajak Dania yang duduk berhadapan denganku.

“Tak jadi masalah.” Balasku ringkas.

“Kenapa nak pergi Low Yat? Nak beli ‘hard disk’ ke? Jaja bertanya.

“Note book aku ada masalah. Terpaksalah pergi hantar kedai. Kakak aku suruh pergi kedai kawan dia di sana.”

“Kedai Melayu atau Cina?”

“Melayulah. Siapa lagi nak tolong orang Melayu kalau bukan bangsa kita juga. Kedai tu baru buka. Bagilah mereka peluang nak bernafas dalam perniagaan. Usahawan muda katakan.”

“Oh, usahawan muda. Baguslah. Jarang kita nampak orang kita berniaga di Low Yat tu. Semuanya bangsa Cina. Satu perkembangan yang baik.”

“Tasneem nak ikut?” Tanya Jaja. Sedari tadi dia asyik menikmati hidangan tanpa bersuara.

“Naklah. Mana boleh tak tertinggal. Lagipun dah lama kita tak keluar bersama. Kalau sempat kita boleh ‘shopping’.”

“Satu cadangan yang baik.” Sampuk Jaja sambil tersenyum lebar. Aku dapat bayangkan fikiran Jaja yang bercabang-cabang apabila perkataan ‘shopping’ itu disebut. Dia ni kaki mebeli-belah.

“Esok aku tunggu kau orang di KL Central saja. Kita jumpa di sana.” Kata Tasneem.

“Eh, Muazlah. Muaz dengan Maya”. Beritahu Jaja kepadaku.

“Biarlah. Nanti si Maya naik angin pula bila tengok aku.”  Aku malas hendak menoleh ke belakang.

“Oh, dialah Maya yang ‘belasah’ kau tempoh hari?” Tanya Tasneem sambil matanya mencerlang melihat pasangan bahagia itu.  Mereka memang sedia maklum dengan perang mulut yang pernah terjadi antara aku dan Maya.

Aku mengangguk. Malas untuk berkata-kata. Perut pun menjadi sebu. Terasa nasi yang dimakan seperti pasir.

“Amboi, mesra lebih-lebih pula. Orang lain pun ada boyfriend juga. Tapi tak lah lebih-lebih macam dia.” Komen Dania. Mungkin dia jelak melihat perlakuan Muaz dan Maya. Aku sendiri tidak pasti kerana tidak menoleh ke arah mereka.

“Sekarang pasangan bercinta  lagaknya macam orang dah berkahwin. Dunia ni macam mereka yang punya. Asyik berkepit macam belangkas. Tinggal kawan-kawan bila dah ada boyfriend. Sikit-sikit boyfriend. Bila dah ‘clash’ barulah sibuk-sibuk nak cari kawan.” Komen Tasneem panjang lebar.

“Betul cakap kau tu. Meluat aku tengok. Kita kalau bercinta jangan berlebih-lebihan. Buat macam biasa sudahlah. Selalunya orang yang lebih-lebih ni, cintanya kecundang di tengah jalan. Masa tu gigit jarilah.” Kata Jaja pula.

Aku hanya mendengar bual bicara mereka. Tidak berdaya untuk menyampuk. Hati aku benar-benar terluka dengan tindakan Maya terhadapku. Sampai hati dia buat aku begitu. Selama ini aku berniat baik dengannya.

“Eh, Muni. Makanlah. Yang kau termenung kenapa?” Tegur Dania.

“Ha, Jaja. Lepas ni aku tolong kau buat projek.” Kataku tiba-tiba. Aku mahu lari dari topik ini. Berbual tentang mereka menjadikan hati aku terasa ditusuk belati. 

 


“Kau marah lagi pada aku, Muni?” Tanya Muaz yang sedang berdiri di hadapanku. Tiba-tiba saja dia berada di hadapan pintu makmal ketika aku dan Jaja sedang berbincang.

“Apa ni, Muaz? Baliklah. Kalau Maya tahu kau jumpa aku teruk nanti. Aku dah tak sanggup kena marah lagi.” Aku berkata dengan jujur.

“Lagipun aku ada perbincangan dengan Jaja.” Aku menambah lagi.

“Sekejap saja, Muni. Bagilah peluang untuk kita berbincang. Maya tak akan tahu. Dia di kolej.”

“Kan aku kata aku tengah sibuk. Nak bincang apa lagi. Tempoh hari kan dah jelas.”

“Bolehlah, Muni. Sekejap saja. Jaja, bolehkan aku berbual sekejap dengan Muni?” Muaz memohon simpati dari Jaja.

“Pergilah Muni. Selesaikan masalah kau orang.”

Aku mengalah.

“Ha, cakaplah. Apa dia?”

“Sejak peristiwa tu, kau selalu jauhkan diri dari aku. Tak sedaplah macam ni. Kita kawan baik. “

“Muaz, aku bukan sengaja tau nak elakkan diri dari kau. Tapi ini permintaan Maya. Aku kena hormat dan jaga perasaan dia. Lagipun kita semua dah jelaskan tentang hal ni selepas kejadian tu.”

“Aku tahu. Aku sedih bila kita renggang. Aku rasa kehilangan bila kita tak rapat macam dulu. Kita dah lama kenal, Muni.”

“Sebagai kekasih Maya, kau harus jaga dan hormat hati dan perasaannya. Mestilah dia cemburu bila kita rapat. Aku tak faham apa yang sebenarnya kau nak?”

“Aku nak kita macam berkawan macam dulu. Aku akan cuba bertolak ansur dengan Maya. Sepatutnya dia berfikiran terbuka dalam soal ni. Tak sangka pula sempit fikirannya.”

“Sudahlah, Muaz. Lepas ni kita buat hal masing-masing. Aku bukan tak mahu kawan dengan kau. Tapi demi menjaga perhubungan kau dan Maya, aku beralah. Lagi pun bukannya kau seorang saja kawan aku di kolej. Ramai lagi.”

Aku menutur kata sebaik mungkin. Aku juga tidak mahu melukakan hati Muaz. Lagi pun tak elok buat orang sakit hati. Kami sudah lama bersahabat.

“Selepas kau tolak cinta aku, aku masih lagi boleh terima. Tapi untuk tidak menjadi sahabat aku tak boleh, Muni. Jujur aku cakap.”

Aku terpana seketika. Muaz mengungkit kisah yang lalu.

“Benda yang lepas jangan dikenang lagi. Kita tak perlu pandang yang di belakang. Jelas ternyata aku lebih senang begini. Kalau kau tak faham juga, aku pun tak tahu nak buat apa lagi.”

Aku menghela nafas. Bingung dengan situasi begini. Aku fikir Muaz pasti lagi bingung. Seorang sahabat manakala seorang lagi kekasih.

“Ok lah. Tapi kalau jumpa aku, tegurlah. Janganlah larikan diri dari aku lagi. Walaupun kita tak serapat dahulu, tapi aku nak kau tahu yang aku begitu menyenangi kau dalam persahabatan kita.” Muaz memberi keputusan muktamad.

Aku hanya menangguk kerana sudah kehilangan kata-kata.

“Aku balik dulu. Maaf kerana mencuri sikit masa kau.”

“Tak mengapa. Aku harap hubungan kau dan Maya baik-baik saja. Tentang aku jangan kau risau.” Aku membalas kata-katanya. Kuharap kata-kata ini bisa membawa ketenangan dalam dirinya.

 

Seketika, Dr Shahrin melintas di hadapanku. Seorang pensyarah muda yang baru bertugas di jabatan ini. Orangnya tampak serius, tapi sebenarnya dia melucukan. Aku kagum dengan corak penyampaian kuliahnya. Dia bersungguh-sungguh ketika mengajar. Selagi kami tidak faham, selagi itu dia cuba membantu kami memahami ilmu yang disampaikan.

Mujurlah dia lalu selepas Muaz pergi. Kalau tidak mesti dia fikir yang bukan-bukan tentang aku. Nanti turunlah saham aku di hadapannya. Orangnya kacak dan masih belum berpunya.

Ah, Muni ada hati dengan pensyarah sendiri. Tak tahu malu betul. Aku tertawa di dalam hati.

 

 


Posted at 06:26 pm by adra
Make a comment  

Saturday, June 17, 2006
Tenunan Songket Oleh Adilah

Sambungan Babak 7

Babak 7
 
Tepi pantai.Bunyi ombak menghempas dan desiran angin.
 
Adilah 
 
Bunga kemboja di atas padang
Cantik terselit di rambut perang
Dari jauh abang datang
Betulkah kerna adik seorang?
 
Nabil: Amboi, berpantun pula adik abang ni. Abang tak pandailah nak 
berpantun, Dilah. Maklumlah orang Sains.
 
Adilah: Kita kan orang Melayu. Kaya dengan adat dan warisan. Itu bukan 
alasan untuk abang.
 
Nabil: Alamak, kena balas juga lah ni. Emm..Nanti ya abang fikir( 
pause) Ha...Dilah jangan gelak tahu. Pergi kedai beli layang-layang, 
mestilah sebab buah hati abang seorang.
 
Adilah: Abang Nabil ni kelakarlah. Pantun dua kerat yang dia balas. 
Keluarga abang tahu abang ke mari?
 
Nabil: Mestilah tahu. Kak Mayra yang suruh abang ambil stok songket 
dari Dilah. Lagi pun abang ada hal penting nak bagi tahu  Dilah. Mari 
kita ke hujung sana.
 
Adilah: Sini saja sudahlah. Lagi pun tak manis kita berdua-duaan di 
tepi pantai begini. Nasib baiklah ada Nilam buat muhrim Adilah. Nenek 
awal-awal lagi dah pesan jangan lama-lama sangat.Bimbang jadi fitnah.
 
 
Nabil: Dilah ni boleh tahan alimnya.
 
Adilah: Bukan alim yang jadi persoalan. Tetapi sebagai orang Islam kita 
mesti kenal dosa dan pahala. Kerana setiap detik kita adalah dosa dan 
pahala. Lagipun Dilah tak mahu seksakan mak dan abah di sana hanya 
kerana dosa Dilah di dunia.
 
Nabil: Tapi berdua-duaan dengan Baha tak salah pula. (nada cemburu)
 
Adilah: Tiap kali Dilah bersama abang Baha, nenek akan turut serta. 
Kami tak pernah berdua-duaan.Hatta dalam rumah pun. Walau pun dia darah 
daging Dilah, tapi abang Baha tetap bukan muhrim Dilah, macam abang.
 
Nabil: Baiklah ustazah. Ini yang buat abang sayang pada Dilah. Sudahlah 
cantik, berakhlak pula tu.
 
Adilah: Mula lah tu nak mengipas. Ha, ada hal apa yang abang nak 
cakapkan?
 
Nabil: Tentang kita. Soal masa  depan kita. Dilah tahu, abang dah dapat 
arahan dari KPM supaya mengajar di Sabah. Bulan depan abang dah mula 
mengajar. Lepas ni kita akan berjauhan.
 
Adilah: Selama ni pun kita berjauhan juga.
 
Nabil: Tapi jauh sini tak sama dengan jauh di sana nanti. Abang belum 
tentu boleh balik setiap bulan. Lepas ni bertambah rindulah abang pada 
Dilah.Tapi abang risaulah...
 
Adilah: Apa yang abang nak risaukan. Kerja dah menunggu, gaji pun dah 
tentu dapat.
 
Nabil: Abang bimbangkan bunga di taman di petik orang. Bimbang kumbang 
yang lain turut mengintai.
 
Adilah: Eh, abang ada kebun bunga ya.Jangan risau Dilah boleh tengokkan 
bunga abang nanti.
 
Nabil: Dilah, abang serius ni. Abang bimbang bila kita berjauhan, Dilah 
akan lupakan abang. Apalagi kalau Baha tu selalu di samping Dilah. 
Lagilah abang bimbang.
 
Adilah: Jauh itu menguji kesetiaan. Dilah di sini setia menunggu abang. 
Janganlah abang risau.Kalau Allah sudah tetapkan jodoh abang untuk 
Dilah, Insya ALLAH, biar sejuta badai melanda kita tetap bersama.Lagi 
satu, abang janganlah buruk sangka dengan abang Baha. Dia abang sepupu 
Dilah. Sedari kecil kami sangat rapat. Dia dah macam abang Dilah 
sendiri.
 
Nabil: Abang letakkan kepercayaan yang tinggi pada Dilah.Jujur dan 
setialah pada abang.
 
Adilah: Begitu juga harapan Dilah pada abang. Dilah tak suka cinta 
Dilah jadi mainan.
 
Nabil: Abang berjanji pada Dilah yang abang tak akan menodai cinta suci 
kita. Abang janji yang abang akan bahagiakan Dilah selalu. Takkan 
sakiti hati Dilah. Takkan terpaut dengan mana-mana gadis di sana nanti.
 
Adilah: Jangan melafaz janji. Dilah tak suka.
 
Nabil: Kenapa tidak? Bukankah janji abang itu satu kepastian untuk 
Dilah, untuk cinta kita.
 
Adilah: Kerana kita tak pasti janji itu tertunai atau mungkiri. Kerana 
Dilah bimbang janji-janji itulah yang akan membuat salah seorang dari 
kita merana kelak. 
 
Nabil: Habis tu, Dilah tak percayakan abang? Atau Dilah sendiri yang 
tak pasti dengan perasaan Dilah terhadap abang? (nada marah)
 
Adilah: Bukan itu maksud Dilah. Hidup ini ada Qada dan Qadarnya. Kita 
hanya merancang tapi ALLAH yang menentukan segalanya. Andai kita tidak 
ditakdirkan untuk bersama, kita harus redha dengan ketentuanNya.(pause)
Abang, bila Dilah berkata begini bukan bermakna Dilah tak cinta dan 
sayangkan abang. Tetapi sebagai peringatan untuk kita bahawa janji 
manusia itu bukan sesuatu yang pasti. Dan ingatlah berkasih itu tak 
semestinya bersatu.
 
Nabil: Abang faham gelodak jiwa Adilah. Tapi mengertilah yang cinta dan 
setia abang hanya untuk Adilah. Dan abang rasa kita tak akan lama 
begini demi menjaga hubungan yang suci ini.
 
Adilah: Apa maksud abang? (tergagap-gagap)
 
Nabil: Mungkin sebulan di sana abang akan hantar rombongan ke rumah 
Dilah.
 
Adilah: Kenapa secepat begitu? Lagipun abangkan baru kerja. Tak mahu 
stabilkan diri dulu?
 
Nabil: Janganlah Dilah bimbang soal wang. Sebenarnya abang dah cukup 
mampu untuk tanggung Dilah walaupun abang baru bekerja.Lagi pun tak 
elok kita bercinta lama-lama.Lepas kahwin abang akan bawa Dilah tinggal 
di sana. Tak seronoklah membujang di sana seorang-seorang.
 
Adilah: Dilah tak sangka secepat itu yang abang mahu.
 
Nabil: Kenapa Dilah kata begitu? Dilah tak suka kita kahwin cepat?
 
Adilah: Dilah punya cita-cita sendiri. Kalau Dilah ikut abang, tak 
dapatlah Dilah nak teruskan tenunan songket. Masih banyak lagi yang 
Dilah belum belajar dari nenek. 
 
Nabil: Argh.. Dilah.Banyak sungguh alasanmu. Janji tak boleh, kahwin 
cepat tak boleh. Apa yang Dilah mahu dari abang sebenarnya? (nada bosan 
dan marah)
 
Adilah: Dilah masih muda, masih belasan tahun. Dilah berhasrat untuk 
menyambung warisan nenek. Tenunan songket ini pusaka kami anak beranak. 
Sejak kecil, Dilah membesar dengan punca rezeki tenunan songket. Dilah 
berazam untuk membangunkan industri ini. Dilah punya cita-cita yang 
besar.Dilah harap abang faham cita-cita Dilah.
 
Nabil: Abang mengerti. Dulu pun Dilah dah pernah ceritakan harapan dan 
impian Dilah. Tapi di sana nanti pun Dilah boleh menenun. Tak ada siapa 
yang akan menghalang.Malah abang akan sokong apa saja yang Dilah buat.
 
Adilah: Berilah Dilah peluang dan masa untuk berfikir. Apa-apa hal pun, 
abang bincanglah dengan nenek. Hal sebegini kena libatkan orang tua. 
Kita yang muda tak boleh buat keputusan sendiri. Apa yang elok kata 
nenek, eloklah bagi Dilah.
 
Nabil: Ya lah. Nanti kita bincangkan perkara ni dengan kedua-dua belah 
pihak. Jomlah pulang. Maghrib pun dah nak masuk. Nanti bimbang pula 
nenek tengok kita tak pulang-pulang lagi.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Babak 8
 
 
Baha: Che' mana, Dila?
 
Adilah: Che' pergi mengaji di dewan. Sekejap lagi dia baliklah. Abang 
Baha dari mana?
 
Baha: Dari rumah. Datang sini pun ada hal nak cerita pada Che' dan 
Dilah.
 
Adilah: Hal apa? Penting nampak gayanya. Senyumlah. Sejak akhir-akhir 
ni abang Baha lain macam. Tak macam dulu. 
 
Baha: Mana ada. Dilah aja yang fikir lain. Abang okay saja.
 
Adilah: Pandai nak sorokkan sesuatu dari Dilah. Dilah tahu bila mana 
abang sedih, gembira, kecewa. Kita ni dah macam adik beradik. Ada 
masalah ceritalah pada Dilah. Jangan hiba-hiba, sayu. Sedih hati Dilah 
tengok abang macam ni.
 
Baha: Adilah tak perlu bersusah payah untuk abang.Sebenarnya,abang akan 
tinggalkan kampung ni. Mulai Isnin depan abang akan melapor diri 
bekerja dengan syarikat marin. Jadi penyelidik dengan mereka.
 
Adilah: Kat mana tu? Jauh ke?
 
Baha: Taklah jauh. Johor aja.Tapi abang akan selalu belayar. Dari satu 
tempat ke tempat.Mungkin abang akan belayar ke seluruh dunia. Maklum 
sajalah, majikan abang bertaraf antarabangsa.
 
Adilah: Sampai hati abang Baha tinggalkan nenek dan Dilah di kampung 
ni. Kan dah janji dulu nak jaga nenek dengan Dilah. Lagi pun abang 
sendiri kata nak duduk saja di kampung. Kerja di kampung. Tak nak dah 
pergi jauh-jauh lagi.
 
Baha: Itu dulu. Segalanya boleh berubah mengikut keadaan. Lagipun Dilah 
dah besar, dah pandai jaga diri.Dilah boleh jaga Che'. Mak abang pun 
ada boleh jaga Che'.
 
Adilah: Agaknya abang Baha dah tak sayangkan Dilah lagi. (merajuk)
 
Baha: Siapa kata?
 
Adilah: Ya lah. Kalau tidak kenapa abang Baha sanggup pergi kerja 
jauh-jauh.
 
Baha: Dilah kan ada Nabil. Dia lebih sayangkan Dilah berbanding abang 
ni, tak ada siapa yang sayang.
 
Adilah: Nabil tu lain. Abang lain. Dilah tak sangka abang buat 
keputusan ni. Pergi temuduga kerja ni pun abang tak cerita pada Dilah.
 
Baha: Abang tak mahu susahkan Dilah. Dilah dah sibuk dengan tenunan, 
persiapan untuk hari pertunangan lagi. Apa perasaan dah bergelar 
tunangan orang? Mesti Dilah rasa bahagia dan seronokkan?
 
Adilah: Biasa saja. Tapi Dilah bersyukur segalanya berjalan lancar. 
Cuma Dilah bimbangkan satu perkara aja.
 
Baha: Apa lagi yang Dilah nak bimbangkan. Pada abang, dia dah cukup 
sempurna dengan Dilah. Sama cantik, sama padan. Abang yakin dia mampu 
bahagiakan Dilah.
 
Adilah: Bukan pasal Dilah. Tapi abang tu. Sampai bila nak membujang. 
Abang memang betul nak tunggu puteri duyung ya?
 
Baha: (tergelak kecil) Siapalah abang ni di mata puteri duyung tu. 
Orang dah tak sudi. Jadi lebih eloklah abang bawa diri. Tenang-
tenangkan fikiran.Abang nak bina kerjaya untuk masa depan abang. 
Sebelum abang pergi, abang nak tanya sesuatu pada Dilah. 
 
Adilah: Tanyalah. Banyak pun boleh.
 
Baha: Dilah sukakan abang?
 
Adilah: Mestilah suka. Kalau tak suka taklah Dilah layan abang 
baik-baik. Apalah abang ni, tanya yang bukan-bukan. 
 
Baha: Suka yang bagaimana?
 
Nilam: (tiba-tiba datang) Abang, mak suruh balik. Ada orang nak jumpa?
 
Baha: Siapa?
 
Nilam: Tak tahu. Cepatlah. Nanti lama orang tu tunggu.
 
Baha: Okaylah. Abang pergi dulu. Ada masa kita sambung lagi.Ada hal 
yang lagi penting untuk Dilah tahu sebelum abang pergi. Kalau sempat 
abang ceritakan. Kalau tak ada peluang, mungkin kita tak ditakdirkan 
untuk bersama.
 
Adilah: Baiklah. Dilah tunggu. Sebelum pergi, jumpa Dilah dulu.
 
 
 
 
 
 
 
Babak 9
 
Di stesen bas. Keadaan stesen bas...tak terlalu bising ...
 
Mak: Pukul berapa bas jalan?
 
Baha: Dalam pukul 10.00. Ada setengah jam lagi. Mak, tengokkan Che' 
tau.Jangan bagi dia buat kerja berat.
 
Mak: Tahulah. Che' adalah tanggungjawab mak. Baha janganlah risau. Baha 
tu yang kena jaga diri. Buat perangai elok di tempat orang.
 
Baha: Insya ALLAH. Baha jaga nama baik keluarga kita.
 
Che': Betul kata mak. Usahlah risau pasal Che'. Ingat jangan tinggalkan 
solat.Nenek doakan kebahagian untuk cucu-cucu nenek.
 
Baha: Dilah mana nek? Baha nak naik dah ni.
 
Mak: Tadi dia kata nak ke kedai sekejap. Barang apa yang dia beri untuk 
kau?
 
Baha: Songket. Cantikkan?
 
Che': Mestilah cantik. Bersungguh-sungguh dia siapkan songket ni. Dia 
ketepikan tempahan lain. Katanya takut tak sempat sebelum Baha pergi.
 
(Sementara itu, Adilah membaca surat dari Baha. Hatinya cukup kuat 
untuk mengetahui isi kandungan surat Baha)
 



Posted at 09:12 am by adra
Make a comment  

Tenunan Songket Untuk Adilah

Skrip ini hanya khayalan dan rekaan saya berdasarkan jalan cerita yang saya ambil dari blog Kak Su (Rumah Kecil Tiang Seribu). Semasa itu, Kak Su mengadakan 'drama radio'  'di rumahnya'. Skripnya adalah sumbangan para tetamu yang berkunjung. Tetapi terhenti sekerat jalan. Lalu dari itu, saya menulis sendiri untuk suka-suka dan simpanan sendiri. Wink 

Muhayra : kau tahu Nabil, mama dah bising-bising pasal kau dan Adilah.
 
Nabil: Mama tak sukakah dengan pilihan Nabil?( nada resah)
 
Muhayra: Macamlah Nabil tak faham dengan perangai mama kita ni. Dia dah 
short listkan nama perempuan2 untuk Nabil. Alih-alih dia tahu Nabil dah 
ada pilihan hati. Satu petang tu dia membebel pasal Nabil dan Adilah.
 
Nabil : Alah, mama ni. Nabil dah besarlah kak. Biarlah soal teman hidup 
ni, Nabil yang tentukan. 
Dari kecil lagi kita selalu ikut telunjuk mama.Kakak pujuklah mama ya 
supaya dia terima Adilah.
 
Muhayra : Suruh kakak pujuk mama? Masya ALLAH, boleh pecah gegendang 
telinga kakak ni bila dengar
mama membebel. Itu belum lagi tengok muka mama yang muncung dan masam 
mencuka tu.
 
Nabil: Tolonglah, Nabil. Kakak aja yang boleh pujuk mama.Nabil sayang 
sangat kat Adilah tu. Dia baik hati, lemah lembut, penyayang. Kakak 
sanggupkah tengok adik kakak yang seorang ni menderita kerana cinta.
 
Muhayra: Amboi, kalau bab memujuk bukan main dia ni.Nantilah kakak 
cuba, tapi itu pun kalau ada masa. Nabil pun faham kakak ni sibuk nak 
uruskan butik ni. Ambil tempahan sana-sini.Nabil pun kenalah cuba pujuk mama 
sekali. Harapkan kakak saja. Dia yang mahu tetapi tak nak berusaha.
 
Nabil: Nabil pun cuba juga tapi perlukan sokongan dari kakak. Kakak 
sukakan Adilah?
 
Muhayra: (terdiam sebentar) Siapa pun pilihan Nabil,siapa pun yang 
Nabil suka, kakak pun begitu juga. 
 
Nabil: Ini yang buat Nabil sayang sangat pada kakak. Hai tak sabarnya 
nak kahwin
 
Muhayra: Ish, gatallah dia ni (buat nada geram) Posting pun belum tentu 
lagi,ada hati nak kahwin cepat, nak tanggung anak orang.
 
Nabil: Itulah juga yang merisaukan, Nabil kak. Dibuatnya Nabil kena 
hantar ke Sabah, Sarawak, terpaksalah tinggalkan oh, Adilah kesayanganku..
 
Muhayra: Kalau dah jodoh Nabil dengan Adilah, tak akan ke mananya 
bintang hati awak tu. Sekarang
fikir macam mana nak tanggung anak orang. 
 
Nabil: Alah kakak ni, jadi cikgu sahlah gaji tetap. Kalau hantar kat 
pedalaman tu elaun mesatilah tinggi. Kakak jangan risaulah, tak akan 
matilah Adilah tu sebab tak makan.
 
Muhayra: Dah lah Nabil, bersembang dengan Nabil ni sampai ke esok pun 
tak habis. Ini ada pesanan dari butik Natasha. Tolong hantarkan ya. 
Jangan melencong tempat lain sebab kat sini banyak lagi kerja.
 
Nabil: Baik boss... Oh Adilah, adikku yang manis. ( menyanyi-nyanyi 
kecil) 
Babak 3
 
Wan Zarina: Mak, kahwinkanlah cepat-cepat si Adilah dengan Nabil tu.
 
Chek': Ish, apa yang kau merepekkan ni, Wan. Mereka baru berkawan. 
Lagipun keluarga si Nabil mana 
ada hantar rombongan. Jangan kita pula yang memandai-mandai. Malu kata 
dek orang.
 
Wan Zarina: Ina bukannya apa. Resah tengok si Baha tu. Umur dah lanjut, 
tapi solo lagi sampai sekarang.
 
Chek': Baha pula? Apa kaitannya dengan si Adilah dan Nabil tu?
 
Wan Zarina : Mak ni macam tak tahu aja yang si Baha tu sukakan Adilah. 
Ina tak mahu mereka disatukan. Pula tu mereka makin rapat. Ina bimbang 
kalau perkara yang tak elok terjadi antara mereka.
 
Chek': Bawa mengucap, Ina. Tak kanlah kau tak percayakan anak sendiri. 
Lagipun jodoh dan pertemuan itu di tangan ALLAH. Kalau dah tersurat 
yang mereka memang ada jodoh, apa yang kita boleh buat. Semuanya kuasa 
ALLAH , Ina.
 
Wan Zarina: Mak ni macam suka aja si Baha dan Dilah tu disatukan. Mak, 
Baha tu tak layak dengan Adilah. Biarlah pasangan si Baha tu sepadan 
dengan dia, lulusan universiti juga.
 
Chek': Aku tahu cucu aku tu tak masuk universiti tapi kau janganlah 
menghina dia ( nada marah)
 
Wan Zarina: Ini bukan menghina dia mak. Tapi kenyataan kan. Lagipun Ina 
tengok Dilah tu macam tak minat aja nak sambung belajar. Asyik dengan 
menenun songket. Tengoklah keputusan SPM pun cukup-cukup makan aja.
 
Chek': Biarlah dia dengan tenunan songket tu. Lagipun dia aja yang 
boleh menyambung warisan aku. Harapkan kau , ish entahlah. Sampai bersawang 
alat penenun ni tak disentuh oleh kau. 
 
Wan Zarina: Ke situ pula mak ni. Mak tak sukakah kalau Dilah belajar 
tinggi?
 
Chek': Siapa tak suka kalau cucu sendiri masuk universiti. Semuanya 
atas Adilah sendiri. Kalau dia nak sambung belajar, mak ikut aja. Tapi 
biarlah dia berjinak-jinak dulu dengan dunia songket ni. 
Sekurang-kurangnya mak ada pewaris yang boleh menyambung kesinambungan mak selama ini. 
Lagipun Dilah ada kebolehan dan masa depan dalam tenunan ni. Tengok 
ajalah tenunan dia, halus dan kemas sampaikan tuan punya butik di KL tu 
jadi pelanggan tetap tenunan kita.
 
Wan Zarina: Kalau pasal Dilah semuanya baik, semuanya serba elok. Mak 
selalu menangkan dia.Dari dulu lagi.
 
Chek': Kenapalah kau tak sukakan si Adilah tu? Ada aja yang tak kena 
dengan Dilah tu di mata kau. Dari dulu lagi aku tengok kau macam benci 
sangat pada dia. Adilah tu anak saudara kau. Darah daging kau sendiri. 
Patutnya kau sayangkan dia,dia yatim piatu. Kalau aku mati nanti entah 
macam mana lah dia ditindas dek kau.(nada keluhan) Kalau ya pun kau 
marahkan mak dia janganlah sampai anaknya jadi mangsa.
 
wan Zarina: Ina tak lah sampai membenci tapi entahlah...
 
Chek': Kau dendam lagi ke dengan adik kau? Sudah-sudahlah Ina. 
Dua-duanya dah jadi arwah.Kalau kau tak mahu Baha dan Dilah bersatu, 
cepat-cepatlah kau carikan jodoh untuk si Baha.
 
Wan Zarina: Itulah yang tengah saya fikirkan sekarang ni. Calonnya dah 
ada. Tapi Baha tu macam kayu. Mak tolonglah pujuk dia apa yang patut. 
Biar hati dia terbuka dengan perempuan lain, bukannya dengan si Dilah.
 
Chek': Tahulah mak bagaimana nak uruskan cucu-cucu aku tu...
 
Babak 4
Datin Habibah: Bang, tengoklah gambar-gambar ni. Cantikkan bakal 
menantu kita.
 
Dato'Khalid : Mana, amboi, memang cantik. Saya pun berkenan.
 
Datin Habibah: Ha, abang tu mulalah nak menggatal. Dah tua pun ada hati 
nak berbini lagi. Jangan ingat saya tak tahu gosip abang di pejabat.
 
Dato'Khalid: Awak ni Bibah tak habis dengan buruk sangka dan cemburu 
buta. 
 
Datin Habibah: Saya ni kan ketua ahli kelab isteri2. Malulah saya kalau 
orang tahu suami saya berpoligami.Ha, Nabil nak ke mana tu?
 
Nabil: Nak keluar jumpa kawan.
 
Dato' Khalid: Daripada jumpa kawan, kan lebih elok Nabil belajar selok 
belok perniagaan dari abah. Bantu abah uruskan syarikat.
 
Nabil: Abah, Nabil kan cikgu. Apa kena mengena dengan syarikat abah. 
Biarlah orang lain yang uruskan.
 
Dato' Khalid: Abah buka syarikat untuk anak-anak abah. Tapi seorang pun 
tak mahu dengar cakap abah.
 
Datin Habibah: Betul kata abah tu , Nabil. Lebih baik Nabil tolak 
arahan KPM dari mengajar. Lagi pun mama dan abah mampu bayar ganti rugi pada 
mereka kalau Nabil tolak tawaran mengajar.
 
Nabil: Mama, abah... Tolonglah faham dengan cita-cita dan prinsip 
Nabil.Menjadi pendidik adalah cita-cita Nabil.Nabil nak tolong anak bangsa 
kita.
 
Datin Habibah: Dihantarnya kau ke pedalaman baru kau tahu. Masa tu 
jangan harap nak minta tolong dari mama dan abah tukar sekolah lain.
 
Nabil: Mama, walau ke hujung dunia pun Nabil ditempatkan, Nabil tetap 
akan pergi. Tugas Nabil mendidik anak bangsa tanpa mengira apa jua 
pangkat, status atau pun bangsa.
 
Dato' Khalid: Yang kakak begini, yang adik begitu. Hai entahlah...
 
Nabil: Nabil pergi dulu abah, mama.Dah lewat ni.
 
Datin Habibah: Eh, nanti dulu. Mama tak habis cakap lagi. Ni ada gambar 
untuk Nabil.
 
Nabil: Gambar apa pula. Malam nantilah Nabil tengok. Nabil dah lambat 
ni.
 
Datin Habibah: Mama letakkan atas meja Nabil.Balik nanti tengok.
 
Nabil: Ya lah, Nabil tengok nanti.
 
Babak 5
 
Muhayra: Apa yang kecoh-kecoh ni, mama? Dari luar dah dengar.
 
Dato' Khalid: Mama kamu ni lah, sibuk nak memadankan Nabil dengan 
pilihan dia. Walhal, anaknya dah ada pilihan hati.
 
Muhayra: Siapa pilihan mama?
 
Datin Habibah: Adalah. Sesuai sangat dengan Nabil.
 
Muhayra: Nabil tu kan cikgu aja. Nak ke anak-anak kawan mama tu pada 
Nabil.
 
Datin Habibah: Eh, kau ingat Nabil tu tak laku? Dia tu ada rupa. Kau tu 
yang entah bila nak berumah tangga.
 
Dato'Khalid: Lepas seorang-seorang awak kaitkan. Biarlah si Muhayra ni 
bernafas dulu. Dia kan baru balik kerja.
 
Datin Habibah: Saya tak mahu anak dara kita ni jadi andartu. Malu, 
bang. Kawan-kawan saya sibuk tanya pasal Muhayra.
 
Dato'Khalid: Biarlah mereka. Jangan ikutkan sangat cakap orang. Lagipun 
bisnes saya ni siapa yang nak uruskan.Dah Nabil tak mahu, harapan saya 
pada Muhayralah.
 
Muhayra: Abah, dulu lagi Muhayra dah kata yang nak berdikari. Bila 
butik dah stabil baru Muhayra boleh tolong abah. (nada manja)
 
Datin Habibah: Dua beranak ni tak habis-habis dengan kerjaya. Ingat 
boleh bawa masuk kubur ke harta benda ni.
 
Dato' Khalid: Ish,awak ni. Bukan begitu.. Beribadatlah kita dengan 
bersungguhnya seolah-olah esok kita akan mati dan berusahala bersungguhnya 
seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi. Itu yang saya pegang. 
Lagi pun awak juga yang senang .
 
Datin Habibah: Ya lah,Mayra marilah tengok gambar ni. Pilih mana yang 
sesuai untuk adik kau.
 
Muhayra: Mama, Nabil dah ada pilihan sendiri. Mama kan dah tahu. Kenapa 
mama masih nak carikan untu dia.
 
Datin Habibah: Bukankah mama dah suruh kau pujuk dia jangan bercinta 
dengan budak kampung tu. Kau tak buat apa yang mama suruh?
 
Muhayra: Ma, Nabil dah besar. Selama ni dia patuh dengan arahan mama. 
Biarlah soal jodoh ni dia yang buat pilihan.
 
Datin Habibah: Patuh? Jangan ingat mama lupa yang dia bantah cakap mama 
sebab nak ambil jurusan sains pendidikan tu.
 
Muhayra: Mama, cerita lama jangan diungkit.Apa kurangnya Adilah di mata 
mama? Dia cantik,hormatkan orang tua. Lemah lembut.Hal menguruskan 
rumah tangga tak jadi masalah buat dia. Sejuk mata memandang. Mak nak bakal 
menantu yang bagaimana lagi?
 
Datin Habibah: Dia budak kampung. Tak sepadan dengan kita. Setakat 
menenun songket tak ada masa depan.
 
Muhayra: Kita pun datang dari kampung juga. Bezanya tinggal di bandar 
saja.Lagipun dia perempuan, bukan dia yang tanggung Nabil. Nabil yang 
tanggung dia. Mama, pangkat dan harta tak menjamin apa-apa. Paling 
penting hati budi. Mama patut kenal Adilah luar dan dalam. Saat itu hati mama 
akan berkenan dengan pilihan Nabil. 
 
Dato' Khalid: Betul kata Muhayra tu.Tak baik sangka yang buruk pada 
Adilah.Lagipun biarlah Nabil buat pilihan sendiri. Dia sudah cukup matang 
menentukan masa depannya.
 
Datin Habibah: Itulah, awak ni. Asyik nak sebelahkan anak, apa yang 
anak buat awak sokong, ikut aja. Sebab tu mereka tak pernah nak dengar 
cakap kita. Sebab itu jugalah mereka tak mahu teruskan perniagaan awak
 
Dato' Khalid : Bibah, anak-anak kita dah besar. Dulu masa kecil 
bolehlah mereka ikut telunjuk awak. Sesekali apa salahnya kita beralah dengan 
anak.
 
Muhayra: Mama, abah sudahlah. Jangan sebab Nabil dan Adilah, mama dan 
abah bertelagah pula. Mayra 
naik atas dulu ya. Nak rehatkan badan. Letih ni.
 
Dato' Khalid: Saya pun nak ke bilik. Mengantuk pula rasanya.
 
Datin Habibah: Ha, eloklah. Semua orang dalam rumah ni tak boleh dibawa 
berbincang, tak mahu dengar cakap. Masing-masing ikut kepala sendiri.
 
Bunyi sayup-sayup suara Datin Habibah membebel.
Babak 6
Chek': Baha, kenapa sayu saja petang ni? (nada lembut)
 
Baha
Daun mengkuang dan daun pandan
Gugur ke bumi melayang-layang
Apa untungnya nasib badan
Dalam hidup tak ada yang sayang
 
Chek': Nenek kan sayang Baha.Tak cukupkah sayang nenek selama ni ?
 
Baha: Baha tahu nenek faham perasaan Baha saat ini.
 
Chek': Cu, tak semua yang kita inginkan berlaku mengikut kemahuan. 
Kadang-kadang berlaku di luar jangkaan kita. 
 
Baha: Baha tahu. Tapi entahlah, perasaan ini sukar ditepis. Makin 
dibuang makin dihampiri.
 
Chek': Mak Baha dah bising-bising tentang Baha. Dia risaukan Baha tak 
berteman lagi.Pasal Baha dan Adilah lagilah dia bimbang. Dengarlah cakap 
mak, Baha. Jangan buat mak bimbang dan risau.
 
Baha: Tapi, nek cinta tak boleh dipaksa.
 
Chek': Ya, nenek tahu. Tapi cinta boleh dipupuk.Lagipun Dilah dah ada 
yang mahu. Tak perlulah Baha tunggu Dilah lagi.
 
Baha: Sejak kecil Dilah dan Baha bagai isi dan kuku. Baha ingatkan 
antara kami tiada apa-apa perasaan. Tapi sangkaan Baha silap. Tiba-tiba aja 
perasaan halus itu menjelma dan Baha tak mampu nak tolak. Apa lagi 
untuk melupakan Dilah. Baha sungguh-sungguh sayangkan Dilah. Baha sanggup 
tolak perempuan yang sukakan Baha semata-mata kerana cintakan 
Adilah.Baha yakin Dilah juga sukakan Baha. Cuma dia saja yang berpura-pura dengan 
perasaannya.
 
Che': Dilah dan Baha cucu nenek. Kedua-duanya nenek sayang. 
Kedua-duanya juga dah nenek kenal luar dan dalam. Dalam soal kasih sayang nenek 
tak mahu masuk campur. Biarlah kamu berdua yang buat pilihan. Nenek tahu 
Baha bijak mengatur keadaan. Dilah pula matang dalam membuat keputusan.
 
Baha: 
 
Babak 7
 
Tepi pantai.Bunyi ombak menghempas dan desiran angin.
 
Adilah 
 
Bunga kemboja di atas padang
Cantik terselit di rambut perang
Dari jauh abang datang
Betulkah kerna adik seorang?
 

Posted at 01:02 am by adra
Make a comment  

Friday, June 16, 2006
Rajuk Yang Sudah

Kulihat Adriana sedang berbaring di atas katil dengan mata yang tertutup rapat. Wajahnya tampak letih. Aku meletakkan bungkusan makanan kiriman Kak Fika di atas mejanya. Tidak pula aku berhajat mengejutkan Adriana. Biarlah dia berehat dahulu. Hati aku sebenarnya tidak senang selagi masalah antara Adriana dan Uncle Haris tidak selesai. Tidak sanggup rasanya aku menghampakan  harapan Uncle Haris kerana dia berharap benar supaya aku menjadi orang tengah antara mereka.

“Kau dari mana?”

“Eh, dah bangun. Aku buat kau terkejut?” Tanyaku sambil menanggalkan tudung di kepala.

Adriana bangun dari katil dan duduk menghadapku.

“Laparlah. Dengar bunyi plastik. Aku tahu kau mesti bawakan makanan untuk aku. Lagipun dah nak masuk Maghrib. Tak elok tidur waktu begini. ”

“Kak Fika yang bagi. Makanlah. Kasihannya tengok kawan aku sorang ni. Kebuluran. “

Aku mengusik Adriana. Dia bangun dari katil dan menuju ke meja. Aroma Nasi Bukhari Kak Fika sudah cukup menggambarkan hidangan yang menyelerakan.

“Sedapnya.  Pandai Kak Fika masak.”  Puji Adriana. Dia makan berselera sekali seolah-olah berhari-hari tidak jumpa nasi. Tapi mungkin juga kerana mereka berekspedisi. Manalah jumpa makanan yang enek-enak.

Tiba-tiba aku teringat janjiku dengan Uncle Haris tentang masalah yang satu itu. Namun aku rasa kurang sesuai untuk bertanya Adriana pada waktu-waktu begini.

“Kenapa kau senyap, Muni? Biasanya ada aja benda kau nak bualkan?” Tanya Adriana setelah melihat suasana sunyi sepi.

“Hmm….Aku ada perkara nak bincangkan dengan kau. Tapi bukan sekarang.”

“Apa dia? Cakap ajalah.”

“Nantilah. Aku solat dulu. Lepas kau mandi. Dah selesai semuanya kita bincangkan.”

Adriana menurut saja. Aku melangkah ke bilik air dan mengambil wuduk. Hatiku berharap agar mood Adriana dalam keadaan baik. Aku juga berharap biarlah Adriana mudah dibawa berbincang.

“Aku rasa tak tenang, Muni.” Adriana memberitahuku sambil melipat kain telekung. Wajahnya muram saja. Entah apa yang tersembunyi dalam hatinya. Namun aku dapat mengagak yang dia bermasaalah.

“Kenapa? Aku  tengok kau asyik muram saja dari tadi. ”

“Aku bersalah dengan papa. Dah lama aku tak cakap dengan papa. Aku berdosa, Muni. Buat papa macam ni.” Terangnya dengan linangan air mata. Dia tersedu-sedan menahan tangis.

Aku tergamam dengan tingkahnya. Adriana sudah sedar akan kesilapannya.

“Apa masalah kau dan papa?” Tanyaku berpura-pura tidak mengetahui cerita di sebaliknya.

Adriana bercerita padaku dari awal hingga akhir. Seperti selalu aku menjadi pendengarnya yang setia.

“Masih belum terlewat untuk kau sedar. Telefonlah papa. Katakan sesuatu pada dia. Papa dah tentu rindukan kau.” Aku menasihatinya lembut. Dia mengesat air matanya yang masih basah di pipi. Kemudian dia mencapai telefon bimbitnya.

“Hello, papa.”

Aku meninggalkan Adriana bersendirian di dalam bilik. Memberi dia ruang untuk berbicara dengan Uncle Haris.

Hatiku terasa lega kerana masalah ini sudah selesai. Mujurlah Adriana menyedari sendiri akan kekhilafannya. Tidak perlulah aku menyusun kata menasihatinya. Jika tidak dari tadi lagi aku berkira-kira bagaimana harus aku mulakan perbualan itu.

Seketika kemudian aku masuk kembali ke dalam bilik. Adriana telah selesai bercakap di telefon.

“Nak ke mana siap-siap beg ni.” Tanyaku apabila melihat Adriana sedang memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg. Kemudian dia memunggah kain baju kotor dari dalam beg ke dalam baldi.

“Nak balik rumahlah. Rindu sangat kat papa.” Jawabnya riang.

Alhamdullilah. Aku menarik nafas lega. Satu masalah telah selesai.

“Jom, Muni. Ikut  aku balik malam ni. Tidur rumah aku, ya.” Ajaknya.

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Kau baliklah sorang. Esok aku dah janji dengan diorang nak pergi makmal awal pagi.”

“Pergi dari rumah akulah. Alah, Damansara ke UM bukannya jauh sangat. Bolehlah. Lagi pun aku tak larat nak memandu. Letih sangat. Bolehkan?” Pujuk Adriana meraih simpati dariku.

“Seganlah, Ad. “ Aku memberi alasan.

“Apa yang nak disegankan. Lagipun kau dah lama tak tidur rumah aku. Jumpa Mak Teh. Kalau dia tahu kau ada mesti dia suka. Esok kita boleh makan nasi lemak Mak Teh yang sedap tu.”

Aku tertawa kecil. Adriana sedang menggula-gulakan aku. Aku keberatan bermalam di rumah Adriana kerana esok pagi aku bercadang mahu bangun lewat. Sudah berhari-hari aku bangun awal. Seganlah aku bangun lewat di rumah orang.

“Jomlah. Kau kasihanlah dengan aku yang letih ni. Tak larat memandu. Nanti jadi apa-apakan susah.” Pujuknya lagi dengan idea yang lebih cemerlang.

“Ya lah. Tunggu sekejap aku bersiap. “ Akhirnya aku mengalah dengan Adriana. Betul juga katanya. Kalau jadi apa-apa semasa memandu, susah pula.

“Oh, ya. Apa perkara yang kau nak bincangkan tadi?”

“Err..Tak ada apa-apalah. Saja je.” Aku cuba mengelak.

“Cakap sajalah. Bunyinya tadi macam serius.”

“Betul, tak ada apa-apa.”

“Tak nak cakap sudah.”  Katanya dengan nada rajuk.

Beberapa minit kemudian aku selesai bersiap. Malam ini bergelaplah bilik kami. Penghuninya sudah bermalam di luar kolej.

“Tunggu apa lagi. Jomlah.” Kata Adriana yang menyedari aku masih lagi ralit di hadapan pintu bilik. Tangannya penuh dengan barang-barang yang mahu dibawa pulang.

Di tangan kiri membawa beg manakala di tangan kanan menjinjing baldi yang penuh kain kotor. Salah langkah boleh terbalik baldi itu. Mana tidaknya, penuh dengan kain-kain kotor.

“Gelaklah. Ini juga alasan aku balik rumah. Tak perlu basah tangan. Campak terus dalam mesin.”

Katanya apabila melihat aku tertawa kecil.

“Jom lah. Nanti tertunggu-tunggu papa kau.”

Kami berdua memulakan langkah menuju ke tempak letak kereta. Malam itu Satria Maroon membelah keheningan malam yang sunyi kerana semua penghuni sedang bercuti.


Posted at 08:01 pm by adra
Make a comment  

Thursday, June 15, 2006
Dekat Tapi Jauh

 Sebaik saja menerima pesanan ringkas dari  Kak Fika, aku naik ke rumahnya yang terletak di tingkat atas. Mujurlah ada Kak Fika di rumah. Kalau tidak aku akan kebosanan kerana keseorangan di dalam bilik menunggu Adriana yang akan pulang hari ini. Mungkin hampir senja nanti baru dia tiba di kolej.

 Sebaik saja memberi salam, pintu dibuka. Kak Fika tersenyum mesra di hadapanku.

  "Adriana belum balik lagi." 

 "Belum. Kak Fika masak apa? Harum aja baunya." Kataku meninjau-ninjau dapur rumahnya lagak seperti pemeriksa tempat.

 "Adalah. Tapi tak ada di dapur. Di meja depan ni." Balasnya sambil mencuit pinggangku.

 Aku ke ruang tamu. Tudung saji dibuka.

"Wah, sedapnya. Nasi Bukhari. Muni tak pernah makan . Nak rasa boleh?"

"Rasalah. Sebab tu Kak Fika pelawa Muni datang rumah. Ingatkan Adriana ada sekali. Kalu tidak kamu berdua boleh jadi 'tester'."

"Hmm..Saya seorang pun boleh. Jomlah, kita makan sekali. Tak sedap pula makan seorang." Ajakku yang melihat Kak Fika di hadapan televisyen.

"Kak Fika dah makan tengah hari tadi. Muni makanlah. Malu-malu pula. Macamlah tak biasa di rumah akak ni."

Aku tertawa kecil.

"Memang sedaplah, kak. Mana Kak Fika ambil resepi ni?"

"Dalam internet. Kak Fika saja cuba. Sebelum ni asyik masak kek saja. Sekali-sekala cuba masak berlauk pula. Betul sedap ni?"

"Betul! Muni tak tipu. Lepas ni Muni nak ceritalah pada Angah yang Kak Fika pandai masak."

"Ha, jangan nak pandai-pandai. Ke situ pula dia." Kata Kak Fika sambil menarik hujung cuping telingaku. Aku mengaduh manja. Sejak peristiwa Angah mengingau menyebut nama Kak Fika, kami sering mengusiknya dengan Angah. Tambah-tambah lagi si Adriana yang memang kuat mengusik.

"Nah, 2 bungkus untuk Adriana dan Muaz." Kak Fika meletakkan dua bungkus plastik Nasi Bukhari  di atas meja.

"Alah, kena bagi Muaz ke? Kak suruh dia ambil sendiri aja. Tunggu di bawah ni. Tak kuasalah saya nak jumpa dengam dia." Aku cuba  mengelak dari bertemu dengan Muaz. 

"Kenapa ni? Ada masalah dengan dia? Dulukan Muni baik dengan Muaz. Sekarang kenapa tiba-tiba macam tak suka aja dengan dia?" Kak Fika cuba mengorek cerita sebenar. Aku fikir Kak Fika mungkin sudah tahu yang antara aku dan Muaz tidak seperti dulu. Seperti biasa, Adriana yang menjadi wartawan Kak Fika.

" Muni malas nak cari gaduh dengan orang. Cukuplah minggu lepas Muni kena 'brainwash' dengan si Maya. Malu bila dia buat begitu. Satu kolej dah tahu cerita sebenar. Walhal antara Muni dan Muaz memang tiada apa-apa. Kami sekadar kawan baik." Aku meluahkan rasa di hati. Penangan dari Maya memang cukup menyeksakan jiwa dan ragaku. Memang aku tidak sangka dia sanggup menuduh aku menjadi pengkhianat dalam perhubungan mereka.

" Sekarang betullah Muni dan dia dah tak baik macam dulu?"

Aku menggeleng. Sejak peristiwa itu, aku menjauhkan diri dari Muaz. Malah kalau bertemu, dari jauh lagi cepat-cepat aku mengelak dengan memilih jalan jauh.

"Sabarlah , Muni. Orang begitu tak perlu dilayan."

"Tapi hati ni sakit. Malu tak usah cakaplah. Orang kata Muni perosak hubungan mereka. Walhal bukannya mereka tak tahu yang dari dulu lagi kami berkawan baik."

"Mulut orang memang kita tak boleh nak tutup. Biarlah mereka. Dah letih nanti berhentilah mereka. Sekarang, Muni buat macam biasa. Kalau Muni rasa diri tak bersalah, buat apa nak risau cakap orang."

Aku setuju dengan kata-kata Kak Fika. Tapi Muaz tak serik-serik pula. Dia seolah-olah memburu aku walau pun dia tahu yang Maya jenis  cemburu.

"Kadang-kadang Muni pun tak faham dengan si Muaz. Dulu kata tak suka dengan Maya. Tiba-tiba suka pula. Beria-ia dengan budak tu. Sekarang bila dah dapat, main-mainkan pula. Sudahlah si Maya memang suka sungguh dengan dia. Manalah dia tak cemburu bila Muaz rapat dengan Muni."

"Hai, macam cemburu saja bunyinya."

"Apa pula cemburu. Muni anggap dia kawan saja. Tak lebih dari itu."

"Kenapa ya, Muni tak sukakan dia.? Ceritalah pada akak. Kak Fika dnegar dia ada hadiahkan tudung untuk Muni. Cantik pula tu." Terang Kak Fika tersneyum mengusikku.

"Ni, mesti wartawan terunggul tu cerita. Semua benda dia nak cerita." Kataku menujukan pada Adriana.

"Kadang-kadang kita tiada sebab untuk tidak sukakan orang. Begitu juga jika kita sukakan seseorang. Tiada jawapan yang boleh kita berikan kenapa kita sukakan seseorang itu."

"Habis tu, Nasi Bukhari ni macam mana?"

"Akak suruhlah dia tunggu di bawah." Ringkas aku menjawab.

Selesai makan dan mengemas meja, aku pulang ke bilik. Tidak lupa mengucapkan terima kasih pada Kak Fika. Selama ini dia menjadi dapur kedua aku dan Adriana selain masakan di DTP. Sampai di bilik, kelihatan kasut sukan Adriana. Mungkin dia baru tiba. Jam pun sudah melewati pukul 7.15 malam. 


Posted at 03:54 pm by adra
Make a comment  

Tanam Anggur.....

Saya baru saja habis mendengar sembang-sembang Dr Fadzillah Kamsah dan Ustz Zambri Che Mat di radio IKIM. Saya tak pasti segmen apa tapi kalau tak silap tajuknya berkisar panas baran. Tak pasti sebab tak dengar dari awal segmen.

Salah seorang pendengar bertanyakan soalan pada Dr Fadzillah tentang dirinya yang menganggur. Katanya dia lepasan universiti dan sudah jenuh pergi temuduga. Namun tiada satu yang berjaya. Lalu ditanya bagaimanakah caranya untuk dia mengatasi tekanan ini.

Apa yang menarik di sini ialah Dr memberi satu anologi " kalau kita meminang gadis, tetapi pinangan kita ditolak beerti ALLAH mahu beri kita jodoh yang lebih baik." Begitu juga dalam mencari pekerjaan ini. Kita (graduan menganggur) ibarat si teruna yang meminang gadis pilihan. Kita mencuba dan mencuba tetapi masih gagal juga. Ini beerti ALLAH mahu memberikan pekerjaan yang lebih baik untuk kita.

Namun yang paling terkesan dalam diri saya ialah kata-kata Dr tentang muhasabah diri kita. Tanya kenapa kita masih tidak memperoleh pekerjaan?
Mungkin kita:
belum sampai rezeki . sebab?? bangun lewat pagi..mana rezeki nak masuk..tak bangun solat tahajud..istikarah..kurang istigfhar, berzikir minta pertolongan dari ALLAH. Kadang-kadang kita tak nampak perkara begini sebenarnya mempengaruhi kehidupan kita sebagai muslim.

Menurut Dr lagi, kita perlu mengubah pemikiran kita supaya jangan terlalu mengharap bekerja makan gaji. Sebaliknya menceburi bidang perniagaan. Bukankah 9 per 10 dari sumber rezeki itu datangnya dari pekerjaan. Cerita Ustz Zambri pula ramai peniaga kecil-kecilan di sekitar Serdang rupa-rupanya graduan. Jangan main-main... Biarpun berniaga pisang goreng, keropok lekor, air tebu, kebab dan sebagainya namun bagi mereka itulah sumber rezeki yang menampung kehidupan seharian.

Terpana saya malam ini Shocked


Posted at 07:01 am by adra
Make a comment  

Friday, June 09, 2006
Corat-Coret

Hu..Hu..Hu...Cukup sebulan di rumah, punggung dah mula panas. Perasaan rimas mula hadir. Maklumlah duduk-duduk saja di rumah. Rasa tekanan pun ada sebab melangut saja, mengadap internet 24 jam. Tekanan sebab bilalah nak mula bekerja. Saya mengeluh..Hmmmm. Tapi dalam hati "macam mana nak kerja, surat tamat belajar pun tak sampai lagi."

Lompat-lompat blog, terjumpalah blog Nia Azalea. Saya kagum dengan Nia kerana boleh seimbangkan karier sebagai pensyarah Matematik dan dunia penulisannya. Dan Nia juga adalah di kalangan mereka yang mengimbangkan otak kiri dan otak kanan. Kenapa?  Nia seorang pensyarah Matematik. Jadi dia akan bermain dengan angka dan yang berkaitan dengan dunia sains. Tetapi pada masa yang sama dia dapat mempraktikkan unsur-unsur seni dalam jiwanya.

Orang  sains ni  sering dilabelkan dengan ciri-ciri 'nerd', asingkan diri, tak bercampur dengan dunia luar dan tak 'ranggi'. Tapi sebenarnya tidak semua. Sekarang pun ramai saja ahli sains/ saintis yang bukan saja pakar dalam bidangnya tetapi sempat juga berkarya. Contohnya bekas Naib Canselor UM, Prof Dato' Dr Hashim Yaakob. Saya memang 'adore' dengan beliau. Seorang doktor, pensyarah yang turut mewarnai dunia sastera negara. Sebenarnya ramai lagi saintis yang sedemikian. Pensyarah-pensyarah saya juga ada yang suka berkarya- menulis puisi, sajak.

Seharusnya kita tidak hanya menumpukan terhadap satu bidang saja. Cubalah juga cabang-cabang kehidupan yang lain. Barulah dunia ini terasa indahnya. Wink

p/s  avatar in graduation..konon-konon sayalah tuBig Smile

 


Posted at 10:14 pm by adra
Make a comment  

Wednesday, May 31, 2006
Luahan..

Hairan kenapa menjadikan andartu sebagai satu masalah besar...
Teruk sangatkah golongan andartu ni sehingga pelbagai pihak mencari jalan penyelesaian.
Bunyinya andartu ini seolah-olah teruk sangat..
Kenapa mesti sibuk-sibuk perbetulkan golongan wanita..
Kenapa kita tak memperbetulkan golongan lelaki di Malaysia ini sendiri..
Kita sedia maklum ramai wanita yang berjaya dalam hidup,berkerjaya..
Kenapa tak kita pupuk supaya lelaki-lelaki di Malaysia ini sentiasa berusaha setanding atau lebih lagi dari golongan wanita tersebut..
Masalahnya di Malaysia ni golongan lelakinya tidak begitu..
Yang muda-muda di pusat serenti..
Yang sedia ada berfikiran cukuplah setakat ini kemampuan mereka..
Tak mahu berusaha meningkatkan diri..sedangkan wanita hari demi hari sentiasa mencari jalan meningkatkan taraf masing-masing.
Jangan salahkan wanita...
Tetapi renungilah golongan lelaki sendiri..
Pada amatan saya..melalui pengalaman yang tak seberapa ini..lelaki ramai yang pemalas..kalau disuruh pergi kursus, workshop suka elakkan diri..lebih suka cari jalan atau kerja mudah..lebih suka berada pada takuk yang lama..
Tidak ada inisiatif memajukan diri..
Maaf..tulisan ini agak bias..
Tetapi itulah realitinya..
Sebab saya tak suka orang seolah merendah-rendahkan golongan andartu..
Cadangan saya..lelaki yang harus meningkatkan potensi dalam diri mereka...barulah masalah antara dua darjat ini tidak timbul..


Posted at 11:00 am by adra
Make a comment  

Monday, May 29, 2006
Nikmat...

Alhamdullilah...
Syukur sangat-sangat pada ALLAH
Mengurniakan sebaik-baik nikmat pada saya...
Exam results baru-baru ni sangat-sangat mengembirakan hati saya...
Terima kasih  pada para pensyarah..
Dr Durriyyah-my supervisor
Dr Sahar-my co-supervisor
Dr Rizman
Kak Pah-my tutor...
Terima kasih atas segala tunjuk ajar..
Hmm..Tak lupa Dr Amir..
Sekarang tinggal surat pengesahan tamat belajar ...
Semoga segalanya berjalan dengan lancar...Wink

Duduk-duduk saja di rumah...
Terasa nak belajar balik..
Masa belajar..
Tak sabar nak abis..
Sibuk nak kerja...
Itulah manusia...
Suka sangat ingat yang lepas-lepas..
Sekarang menanti hari-hari yang akan datang
Untuk dipanggil bekerja...
Atau pun sambung belajar...


Posted at 07:02 am by adra
Make a comment  

Next Page

   

<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30

"Ya ALLAH, mula-mula dalam hatiku ialah aku ingat padaMu baik pada zahirku mahupun pada batinku"



"Segala apa yang lahir di hati dirungkaikan dengan perkataan yang bisa meleraikan segala kekusutan setelah sekian lama bersarang dalam fikiran"







*Rumah Kawan-Kawan*




Fotopages

ain@onah
pok nik
kak teh
kak rozek

Blog


Rumah Kecil Tiang Seribu
Shu
Naim

Others Link

combi
umisisweb
friendster
Bicara Sufi

RiNgAnKaN MiNdA

Natalia Natasya
Cinta Di Hati
Seberkas Cinta Yang Sirna

Seindah Rasa
Badai Pasti Berlalu

PeNuLiS

Ghafirah Idris I Faisal Tehrani I Nisah Haron I Zaid Akhtar I Salina Ibrahim I
Nazmi Yaakob I Nimoiz TY I Huda Soid








Menanti Sebuah Jawapan

  • Mengirai Kenangan
  • Tanggungjawab
  • Mengutip Ilmu
  • Sayang Ibu
  • Langkah Pertama
  • Cerita Seorang Teman
  • Inspirasi
  • Bagai Aur Dengan Tebing
  • Bila Pintu Hati Mula Diketuk
  • Pertemuan
  • Hadiah
  • Tenang Bermukim
  • Tuntutlah Ilmu
  • Perigi Mencari
  • Permata Bonda
  • Adik Manja
  • Warkah Melalui Emel
  • Pesan Ibu
  • Kemelut Diri
  • Salam Dari Madinah
  • Rancangan
  • Perjuangan
  • Rindu Padanya
  • Cabaran Bermula
  • Kejutan
  • Pertemuan Semula
  • Pindah Rumah
  • Salah Sangka
  • Jauh Hati
  • Satu Ujian
  • Mengutip Pahala
  • Sahabat atau Kekasih
  • Kemelut
  • Dekat Tapi Jauh
  • Rajuk Yang Sudah



  • If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed